top of page

Wasiyyah Shoppe sasar teroka pasaran Indonesia

KUALA LUMPUR: Syarikat amanah patuh Shariah nombor satu di Malaysia, Wasiyyah Shoppe Bhd sasar tembusi pasaran Indonesia dalam tempoh tiga tahun bagi mengembangkan operasi perniagaan di luar negara.


Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata hasrat tersebut sukar dilaksanakan dalam masa terdekat ini ekoran peraturan dan undang-undang Islam di Indonesia yang berbeza dengan Malaysia.


"Secara logiknya, kami memilih Indonesia kerana ia merupakan negara Islam terbesar di dunia. Oleh itu, kami telah mengambil melakukan banyak usaha untuk menembusi pasaran negara itu. Peluang di sana lebih banyak...bukan hibah sahaja.


"Kita perlu melihat tahap penerimaan di Indonesia seperti undang-undang dan rangka kerja sebelum kita merealisasikan idea itu. Kami sebenarnya telah membuka jalan, melakukan pembelian dengan semua pihak berkepentingan di sana. Apa yang pasti, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd akan bersama kami ke sana," katanya.


Ariffin berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, anak syarikat unit teknologi kewangan (FinTech) Sedania Innovator Bhd (Sedania) sebagai rakan kongsi korporat eksklusifnya.


Di bawah perjanjian itu, Sedania As Salam akan menjadi rakan kongsi korporat eksklusif untuk segmen institusi perkhidmatan kewangan (FSI) dan perusahaan untuk memperkenalkan hibah, perkhidmatan amanah dan perkhidmatan pengurusan harta pusaka Islam yang lain.


Ia juga akan menjadi penyedia platform digital untuk memudahkan perkara berkaitan pewarisan Islam serta bekerjasama rapat dengan FSI untuk mengesahkan keperluan mereka tentang pembolehubah perniagaan dan sistem platform.


"Dengan memanfaatkan hubungan kukuh Sedania As Salam dengan FSI Malaysia, kami boleh membuka peluang besar bagi umat Islam untuk melindungi kekayaan mereka dan menerima kemudahan disediakan sepenuhnya untuk penerima yang dinamakan.


"Dengan gabungan keupayaan penyedia platform digital yang mantap dan syarikat pemegang amanah terkemuka, kami juga boleh membina potensi kejayaan daripada pasaran hartanah Islam dan mengembangkan lagi ke arah menyediakan hibahuntuk produk perbankan runcit lain dalam masa terdekat," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Nisa Ismal berkata perjanjian itu adalah hasil daripada penyempurnaan pengambilalihan 20 peratus pemilikan dalam Wasiyyah Shoppe yang diumumkan pada Mac 1 2023.


"Kami boleh menyerlahkan potensi penyelesaian pewarisan Islam Wasiyyah Shoppe melalui rekod prestasi kukuh kami yang dibina bersama 95 rakan kongsi FSI kami. Kerjasama ini melengkapkan keupayaan Wasiyyah Shoppe serta membolehkannya berkembang lebih jauh.


"Setakat ini, Wasiyyah Shoppe menjana pendapatan sekitar RM21 juta setahun daripada pasaran runcit melalui 2,700 ejen aktifnya. Dengan memberikan Sedania As Salam eksklusiviti sebagai rakan kongsi korporat, kami boleh memacu perniagaan perusahaan dan FSI untuk Wasiyyah Shoppe," katanya.



Comments


bottom of page