SEDANIA Innovator Berhad terus mencatat prestasi kewangan memberangsangkan pada suku kedua tahun kewangan 2023 apabila merekodkan peningkatan untung bersih kepada RM1.6 juta.
Untung bersih syarikat itu melonjak berbanding RM530,000 pada suku kedua tahun lalu sekali gus melebihi untung bersih yang dicatatkan setahun penuh pada tahun kewangan 2022.
Hasil pendapatan SEDANIA turut meningkat sebanyak 34 peratus kepada RM12.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu.
Jumlah tersebut meningkat berbanding RM9.1 juta bagi tempoh sama 2022 susulan sumbangan lebih tinggi daripada segmen tenaga mampan dan teknologi kewangan (fintech).
Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, prestasi perniagaan yang memberangsangkan itu memberi potensi baik dalam rancangan perpindahan ke pasaran utama Bursa Malaysia dalam dua tahun akan datang.
Beliau berkata, segmen Sustainable Healthcare akan terus memacu perniagaannya ke hadapan dengan meneroka ke negara-negara baharu yang berpenduduk tinggi dengan jenama Offspring kini telah pun terdapat di 26 negara.
“Segmen Sustainable Healthcare mencatatkan hasil segmen RM7.6 juta pada suku kedua 2023 disokong permintaan lebih tinggi untuk produk penjagaan kesihatan mesra alam di pasaran antarabangsa utama di Asia dan Eropah.
“Kami gembira merekodkan prestasi kewangan yang kukuh dalam suku kedua, membolehkan kami mencatatkan keuntungan untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azrin memaklumkan, prospek pertumbuhan segmen fintech akan berkembang secara eksponen dipercepatkan oleh perkongsian hibah digital dengan syarikat bersekutunya, Wasiyyah Shoppe Berhad.
Katanya, kerjasama dengan Wasiyyah Shoppe membolehkan SEDANIA meneroka pasaran pinjaman hartanah Islam bernilai kira-kira RM200 bilion.
“Dengan kadar pelaksanaan hibah dalam kalangan umat Islam di Malaysia pada tahap yang masih rendah iaitu 0.2 peratus, potensi pertumbuhan perniagaan ini adalah besar,” katanya.
Segmen fintech SEDANIA pula menyaksikan pertumbuhan untung kasar terbesar, melonjak sebanyak 50.7 peratus kepada RM1.8 juta pada suku kedua 2023 didorong lonjakan trafik daripada platform Tawarruq dan Go Halal.
Bagi segmen Sustainable Energy, hasil segmen itu mencatatkan peningkatan ketara dengan melonjak berlipat ganda kepada RM2.4 juta berbanding hanya RM100,000 setahun yang lalu.
“Prestasi positif ini disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap aset kontrak di bawah Kontrak Prestasi Tenaga dengan pelanggan utama,” jelasnya.
Comments