KUALA LUMPUR: Offspring Inc Sdn Bhd, anak syarikat SEDANIA Innovator Bhd (Sedania) melebarkan sayapnya di pasaran antarabangsa, selepas menerima tempahan pertama untuk mengeksport produk penjagaan kesihatan yang mampan ke Togo dan Nigeria.
Pencapaian terbaharu ini menepati aspirasi global Offspring yang sudah mempunyai kehadiran di benua lain seperti Eropah, Amerika Utara dan Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Offspring, Roslan Ismail, berkata tempahan pertama dari Togo dan Nigeria menandakan kemajuan dalam rancangan Offspring untuk bertapak di Afrika, benua kedua terbesar dan mempunyai penduduk paling ramai.
"Togo dan Nigeria adalah langkah permulaan kami di Afrika. Penghantaran yang berjaya pada masa akan datang dijangka akan melonjakkan jenama kami di Afrika sekali gus meletakkan Offspring pada kedudukan strategik untuk menarik peluang urus niaga di benua itu.
"Kami optimis untuk menembusi pasaran Afrika dan yakin produk kami akan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Afrika, dengan jumlah populasi Togo dan Nigeria kini masing-masing adalah 8.7 juta dan 215.1 juta orang.
"Pencapaian ini juga batu loncatan bagi Offspring untuk meraih peluang perniagaan di benua itu, yang akan disokong oleh rancangan untuk memperkenalkan produk organik lain sebaik jenama Offspring mula berkembang di Afrika," katanya dalam satu kenyataan.
Offspring memasar dan mengeksport rangkaian produk penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan. Ia merangkumi produk bayi yang selamat, semula jadi dan mesra alam seperti lampin, tisu basah berasaskan tumbuhan selain keperluan isi rumah. Semua produk ini dihasilkan menggunakan bahan yang tidak membahayakan alam sekitar serta mendorong kepada pelepasan karbon yang rendah.
Comments