top of page

SEDANIA jalin kerjasama dengan Codebase Technologies

SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) menerusi anak syarikatnya, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd membuka lembaran baharu dengan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Codebas Technologies (Codebase).


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sedania As Salam, Nisa Ismail berkata, beliau yakin kerjasama itu akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.


“Saya yakin dengan kerjasama ini kerana ianya akan meletakkan kami di hadapan dalam menawarkan penyelesaian perbankan digital yang inovatif bagi memenuhi keperluan institusi perkhidmatan kewangan (FSI).


“Keyakinan kami ini berpunca daripada fakta bahawa kami boleh memanfaatkan teknologi daripada Codebase yang diiktiraf dan telah berjaya digunakan dalam melancarkan pelbagai platform.


“Selain itu, ia memberi penyelesaian digital di seluruh dunia untuk pelbagai FSI, sama ada bank neo atau pencabar, bank tradisional, fintech dan syarikat baru,” katanya dalam kenyataan.


Mengulas lanjut, Nisa berkata, kerjasama itu sangat ideal memandangkan Sedania As Salam diletakkan pada peningkatan pertumbuhan merangkumi pasaran antarabangsa.


Jelas beliau, rekod prestasi kukuh Sedania As Salam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada bank konvensional mewah, bank koperasi dan juga pelbagai FSI yang lain juga dapat membantu Codebase Technologies memperoleh kedudukan yang lebih kukuh di Malaysia.


Sementara itu, Ketua Perusahaan Global Codebase Technologies, Omar Mansur berharap kerjasama berharga dengan Sedania As Salam akan dapat memberikan hasil yang membanggakan di masa hadapan.


“Sinergi bersama yang kami akan dapat terokai adalah tidak terhad dan akan membolehkan akses yang lebih luas kepada pelbagai penyelesaian digital untuk FSI.


“Kerjasama ini akan membantu kami mengembangkan kedudukan kami di Malaysia dan rantau APAC, dan kami juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan organisasi yang berkongsi visi yang sama”, katanya.


Dalam perjanjian tersebut, Sedania As Salam akan menerajui dalam pembangunan perniagaan dan juga pengurusan projek sementara mengintegrasi solusi teknologi kewangan Islam dengan Digibanc, platform perbankan digital daripada Codebase Technologies yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.


bottom of page