KUALA LUMPUR: SEDANIA Innovator Bhd (SEDANIA) mengukuhkan kedudukannya dalam segmen penjagaan kesihatan mampan dengan membeli 51 peratus kepentingan dalam Tanamera Group Sdn Bhd, susulan pemeteraian perjanjian jualan saham (SSA) dan perjanjian langganan (SA) antara kedua-dua syarikat hari ini.
Cadangan pemerolehan secara tunai sebanyak RM8.18 juta akan dibiayai oleh dana dalaman, dan dijangka dapat diselesaikan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024.
Buat masa ini, segmen penjagaan kesihatan mampan iaitu produk bayi organik premium, Offspring Inc, yang juga anak syarikat milik SEDANIA dengan pemilikan sebanyak 51 peratus.
Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata Offspring percaya kasih sayang seorang ibu untuk anaknya tiada batasan, menjadikannya sebagai jenama pilihan utama untuk ibu bagi anak mereka.
Beliau berkata, SEDANIA juga yakin bahawa ibu yang menggunakan jenama Offspring layak menerima kasih yang terbaik, dan kini, melanjutkan kasih itu melalui Tanamera.
"Kerjasama strategik ini juga dapat memberi peluang yang lebih besar untuk perbelanjaan isi rumah, di samping dapat memperkembangkan nilai rantaian dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam kapasiti untuk mereka bentuk dan pengilangan produk penjagaan kesihatan mampan.
"Langkah ini membolehkan syarikat mempertingkatkan rangkaian produk, menguatkan proposisi jualan unik, dan akhirnya meningkatkan margin keuntungan kami.
"Ini membuka peluang lebih besar bagi Tanamera kerana ia dapat memperluaskan pasarannya dan mengukuhkan kedudukan dalam memanfaatkan 800 titik penjualan produk Offspring di Malaysia serta peringkat antarabangsa yang kini sudah pun berada di 26 negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tanamera Group adalah pengeluar produk penjagaan peribadi premium dan suplemen makanan.
Dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun, Tanamera menghasilkan formulasi dan produksi pelbagai produk penjagaan badan seperti sabun, skrub, minyak urut, dan minyak pati, yang menggunakan bahan tumbuhan tropika semula jadi.
Produk-produk ini dipasarkan di bawah jenama premium syarikat, 'Tanamera'.
Semua produknya adalah 100 peratus berasaskan tumbuhan dan bebas dari pengawet kimia.
Syarikat ini juga menyediakan perkhidmatan pengilangan kontrak untuk pelanggan antarabangsa.
Comments