ANAK syarikat Fintech Sedania Innovator Bhd (Sedania), Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (Sedania As Salam) bersetuju untuk membantu mengembangkan produk dan servis syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe) kepada rangkaian luas institusi perkhidmatan kewangan (FSI) menerusi satu jalinan kerjasama pada Isnin.
Ketua pegawai eksekutifnya, Nisa Ismail berkata, pihaknya akan bertindak sebagai pemudah cara dari segi prosedur dan undang-undang bagi produk serta servis syarikat yang diperkenalkan berkenaan.
“Umum mengetahui, antara produk Wasiyyah yang mendapat perhatian ramai adalah aplikasi UsraHDD dalam melaksanakan akad dan penyimpanan dokumen hibah secara atas talian. Teknologi yang diperkenalkan itu sedikit sebanyak menjadi pemudah cara kepada orang ramai.
“Pihak Sedania pula akan bertindak dengan mengiklankan produk tersebut di institusi perbankan dengan melicinkan segala pengurusannya dari segi prosedur dan undang-undang.
“Contohnya, jika seseorang individu itu membuat pembelian rumah menerusi sesebuah bank. Pihak bank dapat memperkenalkan pakej hibah berserta prosedur yang lengkap dan mudah kepada dia jika ingin membuat sebarang pewarisan terhadap ahli keluarga tersayang seperti anak angkat,” katanya semasa majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Hotel Avante di sini.
Beliau menambah, kerjasama ini juga membolehkan Sedania As Salam menerokai pasaran hartanah Islam yang sedang berkembang dengan nilaian sekitar RM200 bilion.
Jelasnya, ia juga diyakini dapat mempertingkatkan keupayaan Wasiyyah Shoppe untuk berkembang dengan lebih jauh.
“Kami menjangkakan akan memperoleh sebahagian besar daripada pasaran hartanah Islam tahun ini kerana hanya 0.2 peratus daripada 15 juta umat Islam di Malaysia telah melaksanakan hibah setakat ini,” kata Nisa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berharap, kerjasama yang dijalinkan ini dapat membuka peluang besar bagi mereka untuk melindungi kekayaan dan pewarisan harta dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Dengan gabungan keupayaan penyedia platform digital yang mantap dan syarikat pemegang amanah terkemuka, kami juga boleh membina potensi kejayaan daripada pasaran hartanah Islam dan mengembangkan lagi ke arah menyediakan hibah untuk produk perbankan runcit dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Comments