KUALA LUMPUR: Sedania Innovator Bhd (Sedania) merekodkan pertumbuhan pendapatan 50 peratus tahun ke tahun kepada RM15.88 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2024, berbanding RM10.6 juta pada suku sama tahun lalu.
Pertumbuhan ketara itu didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen barangan pengguna laris (FMCG) lestari syarikat yang disokong oleh inisiatif strategik dalam pertumbuhan jenama.
Bagaimanapun, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM685,000 pada suku dikaji berbanding untung bersih RM801,000 pada suku sama tahun lalu.
Menurut kumpulan dalam kenyataan hari ini, pertumbuhan pendapatan utama itu menunjukkan kejayaan strategi transformasi FMCG yang sedang dilaksanakan oleh Sedania.
"Pelaburan berterusan kumpulan dalam pembinaan jenama dan penempatan pasaran adalah penting untuk membina asas yang kukuh bagi kesedaran jenama jangka panjang yang mampan.
"Berdasarkan momentum kukuh daripada pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun untuk suku ini, kumpulan akan terus meningkatkan pegangan pasaran dengan memanfaatkan peluang baharu di pasaran berpenduduk padat dan bermata wang tinggi.
"Dengan usaha berterusan dalam inovasi produk dan pengembangan strategik, trajektori pendapatan dijangka kekal optimistik bagi sepanjang tahun kewangan ini. Walaupun mengambil kira cabaran ekonomi dan keadaan kewangan kini, Sedania tetap optimis namun berhati-hati dalam menyampaikan hasil positif bagi FY2025 yang berakhir pada 30 Jun 2025," katanya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata pertumbuhan pendapatannya yang kukuh mencerminkan nilai strategik inisiatif transformasi mereka.
"Bersama dengan strategi berterusan yang telah kami laksanakan untuk pertumbuhan mantap segmen Teknologi Pengguna Lestari dan Tenaga Lestari, ia adalah pemacu utama ke arah visi kami untuk mencapai pendapatan sembilan digit dalam beberapa tahun akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Pengerusinya, Tun Md Raus Sharif, berkata adalah satu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi baharu Sedania semasa tempoh transformasi ini.
"Komitmen teguh kumpulan untuk 'Memperbaiki Kehidupan Secara Lestari' dan pertumbuhan, berserta model perniagaan yang inovatif, meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham kami.
"Saya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Lembaga dan Pengurusan untuk mengemudi Sedania mencapai matlamat dan cita-citanya yang tinggi," katanya. - Berita Harian
Comments