PETALING JAYA - Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 50 peratus tahun ke tahun kepada RM15.88 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 September 2024.
Peningkatan ini dipacu oleh prestasi kukuh dalam segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) lestari syarikat yang disokong oleh inisiatif strategik dalam pertumbuhan jenama. Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pertumbuhan pendapatan utama ini menunjukkan kejayaan strategi transformasi FMCG yang sedang dilaksanakan.
"Pelaburan berterusan Kumpulan dalam pembinaan jenama dan penempatan pasaran adalah penting untuk membina asas yang kukuh bagi kesedaran jenama jangka panjang yang mampan.
"Kami yakin dapat mencapai keuntungan positif bagi keseluruhan tahun kewangan 2025.
"Pendapatan kami yang kukuh mencerminkan nilai strategik inisiatif transformasi kami.
"Bersama dengan strategi berterusan yang telah kami laksanakan untuk pertumbuhan mantap segmen Teknologi Pengguna Lestari dan Tenaga Lestari, ia adalah pemacu utama ke arah visi kami untuk mencapai pendapatan sembilan digit dalam beberapa tahun akan datang." katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Berdasarkan momentum kukuh daripada pertumbuhan pendapatan untuk suku ini, Kumpulan akan terus meningkatkan pegangan pasaran dengan memanfaatkan peluang baharu di pasaran berpenduduk padat dan bermata wang tinggi.
Melalui usaha berterusan dalam inovasi produk dan pengembangan strategik, trajektori pendapatan dijangka kekal optimistik bagi sepanjang tahun kewangan ini.
"Walaupun mengambil kira cabaran ekonomi dan keadaan kewangan kini, Sedania tetap optimis namun berhati-hati dalam menyampaikan hasil positif bagi FY2025 yang berakhir pada 30 Jun 2025," ujarnya. - Kosmo
Comments