top of page

Offspring jalin kerjasama dengan Foodpanda

RANGKAIAN produk bayi dan isi rumah organik premium, Offspring Inc. Sdn Bhd (Offspring) mengorak langkah baharu dengan menjalin usaha sama bersama Foodpanda.


Offspring yang juga anak syarikat Sustainable Healthcare SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) menjadikan Pandamart sebagai saluran jualan dalam talian terbaru syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Offspring, Mohamed Roslan Ismail berkata, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada mereka menerusi lebih 20,000 penunggang e-hailing Foodpanda sedia ada dan capaian pelanggan melebihi 20 juta orang di Malaysia.


“Perkembangan positif ini seiring dengan matlamat kami untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan.


“Hal ini memandangkan saluran jualan ini meningkatkan kemudahan dan kebolehcapaian pelanggan melalui penghantaran hampir serta-merta yang mana ia boleh dihantar secepat tempoh setengah jam selepas pesanan dibuat menerusi Pandamart.


“Kehadiran lebih luas Offspring dalam platform ini juga membantu tangani senario di mana pelanggan terlupa menambah bekalan barangan penjagaan kesihatan bayi mereka,” katanya dalam kenyataan.


Mengulas lanjut, Mohamed Roslan berkata, usaha sama itu turut melengkapkan strategi mendahulukan jualan dalam talian Offspring.


Jelas beliau, saluran jualan dalam talian Offspring kini merangkumi Shopee, Lazada dan GrabMart di Asia Tenggara.


Selain itu, katanya, ia turut merangkumi Amazon di Amerika Syarikat dan Wildberries, pasaran dalam talian terbesar di Rusia.


“Satu daripada matlamat terbesar kami adalah untuk kekal menembusi pasaran geografi baharu,


“Begitupun, kami juga sentiasa menyasarkan peningkatan jumlah jualan dalam pasaran sedia ada di mana Foodpanda bersedia untuk meningkatkan prospek jualan domestik kami,” katanya.



ความคิดเห็น


bottom of page