top of page

Malaysia perlukan kerajaan yang pentingkan agenda ESG

MALAYSIA memerlukan sebuah kerajaan yang mementingkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pentadbirannya.


Pada masa sama, kerajaan berkenaan juga perlu mengamalkan prinsip kelestarian dan tadbir urus yang kukuh.


Pengasas Sedania Innovator Berhad (Sedania), Datuk Azrin Mohd Noor berkata, penumpuan terhadap ESG akan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan mencapai kemakmuran ekonomi serta keteguhan negara.


Menurut beliau, pelaksanaan ESG itu bukan sekadar daripada percakapan semata-mata.

“Justeru, negara akan dapat menarik pelabur asing untuk melabur dana mereka di negara kita yang meneruskan agenda ESGnya.


“Syarikat korporat Malaysia inginkan kerajaan yang menjadi pemboleh ESG supaya negara kita dapat menghasilkan penambahbaikan yang diperlukan secara lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Azrin berkata, Sedania melabur dalam kelestarian tenaga masa depan pelanggan korporat dengan membiayai dan menggunakan penyelesaian kecekapan tenaga serta sisten tenaga boleh diperbaharui.


Jelas beliau, sehingga kini, ia telah menjimatkan lebih 66 gigawatt-jam dan RM30 juta dalam kos tenaga pelanggan yang juga bersamaan dengan penanaman lebih 950,000 pokok.


Bagi pengguna, katanya, Sedania menawarkan produk penjagaan kesihatan pencegahan yang mengurangkan pelepasan karbon melalui pemilihan bahan mesra alam dan bahan terbiodegradasi.


“Perniagaan teras Sedania iaitu Sustainable Energy dan Sustainable Healthcare (Offspring) tetap kukuh dan tidak dipengaruhi oleh PRU-15 kerana peningkatan penggunaan tenaga dan peningkatan kadar kelahiran tidak terjejas oleh faktor politik.


“Perniagaan teras kami berdedikasi ke arah meningkatkan kehidupan secara lestari dan menangani isu perubahan iklim yang berterusan dengan mengurangkan jejak karbon.


“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, model perniagaan ESG kami berada dalam kedudukan strategik untuk mencapai pertumbuhan kukuh kerana kelestarian kekal berkembang di Malaysia dan dunia,” katanya.


Sehubungan itu, Azrin memaklumkan akan menyokong kerajaan baharu yang berhasrat terus memacu agenda kelestarian.


“Ia adalah falsafah yang kami tekankan dan kami berharap kerajaan yang dipilih memberi tumpuan sepenuhnya terhadap agenda ESG bagi memelihara kepentingan dan masa depan keluarga, masyarakat dan negara,” jelas beliau.



Opmerkingen


bottom of page