top of page

Kumpulan Sedania catat keuntungan dua tahun berturut-turut

SEDANIA Innovator Berhad (Kumpulan Sedania) mencatatkan satu lagi kejayaan selepas merekodkan keuntungan untuk tahun kedua berturut-turut walaupun beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.


Keuntungan selepas cukai Kumpulan Sedania direkodkan berjumlah RM1.4 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2022.


Jumlah pendapatan syarikat tersebut pula mencatatkan jumlah RM38.8 juta.


Bagaimanapun, hasil dicatatkan Kumpulan Sedania itu menurun sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan penangguhan kerja pemasangan di bawah segmen tenaga mampan.


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, syarikat itu mengekalkan kedudukan yang positif walaupun beroperasi dalam keadaan ekonomi pasca pandemik yang mencabar.


“Sedania berharap dapat berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam masa terdekat dan meningkatkan kedudukan kami sebagai pemangkin amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dipacu teknologi.


“Kami optimis untuk mencapai satu lagi tahun kewangan yang menguntungkan diterajui oleh perniagaan penjagaan kesihatan mampan dan teknologi kewangan (fintech) kami manakala segmen tenaga mampan akan menyumbang semula untuk memacu pertumbuhan kami pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Azrin memaklumkan produk berasaskan inovasi dan harta intelek di bawah segmen fintech menyumbang prestasi pendapatan serta keuntungan tertinggi untuk tahun 2022.


Kata beliau, pendapatan segmen tersebut meningkat 33 peratus kepada RM5.5 juta tahun lalu berbanding RM4.2 juta tahun sebelumnya.


“Ia menyaksikan peningkatan trafik yang lebih tinggi daripada platform teknologi kewangannya sekali gus meningkatkan keuntungan sebelum cukai 138 peratus kepada RM2.2 juta daripada RM935,000 sebelumnya.


“Pada masa sama, segmen penjagaan kesihatan mampan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 11 peratus kepada RM30 juta pada tahun kewangan 2022 berbanding RM27 juta tahun sebelumnya, dirangsang jualan lebih tinggi yang dicatatkan dalam pasaran tempatan dan Eropah.


“Keuntungan selepas cukai, bagaimanapun, susut 66 peratus kepada RM1.9 juta pada tahun kewangan 2022 daripada RM5.5 juta tahun sebelumnya disebabkan pelaburan semula dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi,” katanya.


Bagi segmen tenaga mampan pula, Sedania mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.3 juta untuk tahun kewangan 2022 berbanding RM15.6 juta tahun sebelumnya.


Ia disebabkan penangguhan pemasangan peralatan penjimatan tenaga di premis pelanggan bawah kontrak prestasi tenaga.


Segmen tersebut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM628,000 pada tahun kewangan 2022 berbanding RM7.3 juta tahun sebelumnya.




Kommentare


bottom of page