PETALING JAYA: SEDANIA As Salam Capital Sdn Bhd, peneraju teknologi pengguna dan penyelesaian perbankan digital di bawah SEDANIA Innovator Bhd melancarkan JOMHIBAH, platform hibah digital pertama di Malaysia yang direka untuk memudah dan memperluas akses kepada instrumen pengurusan pusaka Islam.
Hibah, yang melibatkan pemindahan hak milik aset secara sukarela semasa hayat seseorang, semakin mendapat perhatian sebagai kaedah yang diutamakan untuk mengurus pusaka Islam.
Ia merupakan pelengkap kepada instrumen pengurusan pusaka Islam sedia ada seperti wasiat dan faraid, dengan menawarkan penyelesaian yang menyeluruh dan fleksibel untuk pengagihan aset legasi seseorang, di samping memenuhi pelbagai keperluan keluarga moden.
Penggunaan hibah yang semakin meluas menjadikannya penyelesaian yang efektif dalam menangani isu mendesak berkenaan aset legasi terbeku umat Islam di Malaysia yang mencecah anggaran RM70 bilion pada 2020, disebabkan oleh pertikaian keluarga yang berpanjangan, proses perundangan yang lama dan rumit, serta membabitkan kos yang tinggi.
Laman sesawang JOMHIBAH membolehkan individu merancang pengagihan harta mereka secara awal dan strategik, terutamanya bagi hartanah, dengan mengintegrasikan hibah ke dalam perancangan legasi sedia ada.
Platform dalam talian ini menawarkan proses 'onboarding' yang dipermudahkan melalui ciri Hibah Akad secara digital, berbanding cara tradisional yang memerlukan penandatangan dokumen secara fizikal di hadapan saksi.
Proses yang dipermudahkan ini dijangka akan membantu lebih ramai keluarga membuat perancangan awal demi melindungi masa depan dan kesejahteraan mereka yang tersayang.
Kerjasama dengan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) juga meluaskan akses golongan komuniti kepada pembiayaan hibah melalui Pembiayaan Peribadi-i HLISB.
Kerjasama ini membolehkan JOMHIBAH mencapai audiens sasaran yang lebih luas dan tidak terhad oleh halangan geografi dengan proses pembiayaan yang digital sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA As Salam Capital, Nisa Ismail, berkata peningkatan mendadak dalam aset keluarga yang terbeku di Malaysia sangat membimbangkan, terutamanya bagi keluarga yang bergantung kepada aset ini selepas kehilangan ahli keluarga serta mengalami kebimbangan pada masa hadapan mereka.
"Oleh itu, JOMHIBAH menawarkan solusi yang menyeluruh yang tidak hanya memenuhi prinsip Islam tetapi ia juga dapat membantu sebuah keluarga merasa lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka dengan pertikaian yang minimum.
"Platform JOMHIBAH akan bekerjasama dengan HLISB bagi mencerminkan komitmen kami untuk 'Meningkatkan Kehidupan Secara Mampan' dengan menawarkan penyelesaian digital yang inovatif, mudah diakses dan bersepadu yang dapat menjadikan perancangan pusaka lebih mudah dan selamat.
"Dalam pada masa yang sama, produk kami bukan sekadar menawarkan tawaran kewangan tetapi ia juga melambangkan tanggungjawab utama kami untuk membina satu penyelesaian yang memberi kesan positif kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Nisa menambah, memandangkan hibah kini semakin menjadi pilihan yang tepat dalam pengurusan harta milik umat Islam, institusi kewangan (FSI) memainkan peranan yang amat penting dalam menjadikannya sebagai satu keutamaan dalam kalangan masyarakat Islam.
"Dengan menyokong keperluan asasi komuniti yang semakin relevan ini, FSI boleh memastikan inklusiviti dan menawarkan penyelesaian yang komprehensif dalam perancangan pusaka, selaras dengan keperluan keluarga moden hari ini.
"Kerjasama kami dengan HLISB adalah bukti bagaimana FSI dapat memacu perubahan yang penting ini," katanya. - Berita Harian
Commentaires