Sep 18, 20222 min

Co-opbank Pertama yakin capai sasaran untung sebelum cukai RM102 juta tahun ini

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) yakin dapat mencapai sasaran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM102 juta bagi tahun ini, angka terbesar sejak penubuhannya berbanding RM86 juta pada 2021.


 
Bank koperasi itu telah ditubuhkan pada 1993 di bawah di bawah Akta Koperasi 1993 yang dikawalselia bersama oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


 
Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi berkata bahawa pencapaian itu susulan pelaksanaan beberapa langkah mempelbagaikan produk serta perkhidmatan yang ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ini penting untuk memastikan CBP terus bersaing secara sihat dengan institusi kewangan lain.

“Bagi menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan berkualiti ini, kerjasama baik perlu dijalinkan dengan syarikat-syarikat menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh CBP,” katanya pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara CBP dan beberapa pihak berkepentingan di sini, hari ini.


 
Pada majlis itu, CBP mengukuhkan lagi jenama dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan keperluan masyarakat, menjalinkan kerjasama dengan agensi dan syarikat termasuk MyANGKASA, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Policystreet serta Sedania As-Salam.

Baharom berkata CBP juga yakin mampu mengukuhkan lagi jenamanya dalam kalangan anggota selain mencapai sasaran dari segi jumlah pelanggan baharu.
 
“Kami menjangkakan pertumbuhan pelanggan baharu ini sebanyak 5-10 peratus setahun. Pada masa ini, bilangan keanggotaan dianggarkan 100,000 dan dijangka mencapai lebih 150,000 orang pada 2026,” katanya.


 
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sedania As Salam menyatakan bahawa MoU tersebut bagi membolehkan syarikat tersebut menjadi rakan kongsi digital dalam mempercepat inisiatif pendigitilan CBP.


 
Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Nisa Ismail juga menyifatkan kerjasama itu sebagai amat penting dalam mencapai matlamat berterusan syarikat bagi mempercepat penggunaan perbankan digital di Malaysia.


 
“Ini berikutan Sedania As Salam telah diamanahkan untuk memulakan proses pendigitalan bagi bank koperasi kedua terbesar negara ini.
 
“Kepakaran dan rekod prestasi kami yang kukuh dalam membangunkan ekosistem perbankan Islam digital dan dipercayai oleh institusi kewangan terkemuka, juga telah memberi keyakinan dalam memulakan transformasi digital CBP," katanya.

Read Original Article